Sunday 8 December 2019

PENGESANAN AWAL KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Dalam soal pengendalian kanak-kanak khas, dua prinsip utama perlu diikuti iaitu mengenal pasti kecacatan seawal mungkin dan menjalankan intervensi awal berdasarkan masalah yang dihadapi. Ini penting kerana kadar tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak berlaku dengan pesat sekali pada peringkat usia di bawah lima tahun iaitu apa yang disebut sebagai critical periods of growth and development.
Dr Aminah Bee (2000), menggariskan peranan pihak sekolah daripada segi pengesanan awal iaitu:

  • Guru kelas biasa perlu peka apabila kanak-kanak kurang memberi perhatian ataupun kurang cekap dalam pelajaran.
  • Guru kelas biasa perlu sedar terdapat dalam kalangan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah pembelajaran dan jangan meletakkan label 'malas' ataupun 'bodoh' kepada murid.
  • Guru kelas biasa dapat merujuk kes yang disyaki kepada guru yang mempunyai latihan dalam pendidikan khas kerana guru ini dapat mengenal pasti secara kasar masalah yang dihadapi oleh murid.
  • Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan di tahun satu perlu disaring bagi mengenal pasti masalah pembelajaran spesifik kerana sepatutnya ia sudah dapat menulis namanya sendiri.
  • Merujuk kanak-kanak kepada pasukan kesihatan sekolah ataupun klinik kesihatan yang berdekatan bagi pemeriksaan lebih terperinci.
  • Mengetahui tanda-tanda awal masalah pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.
Bailey (1996) menggariskan empat rasional bagi kepentingan intervensi awal dengan melibatkan pelbagai pakar:
  1. Kanak-kanak dengan keperluan khas mengalami pelbagai masalah dan perlu dikendalikan oleh pelbagai pakar.
  2. Pakar-pakar yang mengendali kanak-kanak khas ini perlu menentukan objektif dan rawatan yang sesuai untuk kanak-kanak dalam pelbagai bidang.
  3. Komitmen semua pihak diperlukan bagi melaksanakan perkhidmatan yang dicadangkan untuk kanak-kanak khas.
  4. Keputusan yang diambil bagi menentukan serta melaksanakan perkhidmatan melibatkan pelbagai disiplin.
Program intervensi awal di Malaysia dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengendalikan kanak-kanak dengan keperluan khas di peringkat umur 0 hingga 3 tahun. Manakala, di peringkat umur 4 hingga 6 tahun, iaitu peringkat prasekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah dengan menyediakan program Pendidikan Khas Prasekolah bagi ketiga-tiga kategori ketidakupayaan iaitu masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran, mulai tahun 2003.

No comments:

Post a Comment